SATWO – Untok Kita (Hanya Kita) (Single)
Satwo mempunyai nama, yang pada hemat kami, amat menarik. Ia disebut sebagai satu dalam Bahasa Melayu, tetapi dengan twist perkataan “two” di suku kata terakhir mereka, mengingatkan kami kepada cara the Beatles memilih nama mereka. Dalam masa sama, ia juga melambangkan identity Satwo itu sendiri yang terdiri daripada duo suami isteri Rafiz dan Maz, yang berasal dari bandar Kuantan.
Pertama kali kami mengenali Satwo adalah melalui Vans Musician Wanted 2017, melalui lagu mereka No Matter What (jika tidak silap). Meluncur laju beberapa tahun kemudian, Satwo telahpun muncul di Kamar Seni Studio Live Session, The Weeknd Live Session, pelbagai gig dan persembahan dan juga kini bernaung di bawah label Luncai Emas, sebaris dengan Iqbal M., titikdingindamai, Margasatwa, Pitahati dan Ramayan.
Single Untuk Kita (Hanya Kita) adalah sebuah trek yang dirakam semula daripada demo/EP mereka pada 2017, dengan tajuk yang sama. Single ini dilancarkan sekaligus bersama sebuah video muzik. Video muzik ini juga mengambil idea asal mereka sendiri, yang sudahpun dimuatnaik daripada pada tahun 2016. Semestinya, kedua-dua kualiti lagu dan video mereka kini berganda-ganda lebih baik daripada yang direkodkan lebih awal, walaupun sebenarnya demo mereka pada tahun itu sudah cukup kuat untuk menangkap halwa telinga.
UKHK adalah sebuah lagu yang easy-listening, padan untuk menjadi latar kepada sebuah malam yang kita rasakan kita perlu bertenang selepas seharian kekusutan. Tetapi apa yang mengelirukan adalah sebenarnya lagu ini kedengaran sedikit berhantu (walaupun sekiranya anda tidak menonton video muzik mereka). Ia sebuah lagu yang tenang dek kerana keharmonian suara diantara Rafiz dan Maz, namun berbunyi mistikal melalui susunan kord mereka. Ini menjadikan lagu ini sebuah lagu romantik-seram yang tenang?
Bayangkan, anda termenung kosong keluar jendela bilik anda sambil ditiup angin malam, dan ketika itu juga anda terlihat sesuatu melambai dari balik pokok. Inilah rumusan bagi perasaan kami terhadap emosi lagu ini. Santai, tetapi gelisah.
Berbanding dengan demo awal, UKHK versi rakaman penuh kali ini temponya diperlahankan sedikit dan terdapat penambahan seksyen strings dalam lagu ini. Walaupun agak minimal, kedua-duanya memberikan kesan yang lebih baik terhadap lagu ini.
Secara jujurnya kami merasakan No Matter What adalah single yang lebih kuat berbanding UKHK kerana ia mempunyai lebih perisa dan lebih berwarna-warni. Kami berharap ia bakal diketengahkan sebagai single mereka yang seterusnya, dan semestinya kami akan kecewa sekiranya ia langsung tidak dimuatkan dalam rilisan EP/album mereka nanti!