Browse By

Fender Dalam Tafsiran LEGO: Sebuah Gabungan Seni Mainan & Pertukangan Muzik

Ini adalah jawapan kepada masalah anda yang sudahpun lama memikirkan hadiah untuk pasangan, ibubapa ataupun adik beradik anda sempena meraikan mereka, baik hari jadi mahupun Hari Natal Disember nanti.

Pada 1 Oktober lepas, LEGO telah mengeluarkan sebuah produk rentas-jenama yang eksklusif buat peminat muzik, khasnya buat pemian gitar. Kita sudahpun melihat kerjasama LEGO dengan beberapa jenama lain, antaranya Star Wars, LEVI’S, Adidas dan IKEA. Kali ini, LEGO bekerjasama dengan Fender, jenama pertukangan gitar yang sudahpun merentas abad.

Produk ini diletakkan dibawah kelasan LEGO® Ideas dan diilhamkan oleh peminat dan pereka LEGO, Tomáš Letenay yang berasal daripada Slovakia.

Untuk anda yang membayangkan bahawa rekaan set gitar LEGO® Ideas Fender® Stratocaster® ini semudah mainan kanak-kanak yang lain, kami boleh nyatakan bahawa anda salah 100 peratus. Set ini hadir dalam 1,074 kepingan blok dan hanya sesuai untuk dibina untuk mereka yang berumur 18 tahun keatas. Tambahan lagi, set ini merangkumi segala perkakas berkaitan dengan gitar Fender, termasuklah amplifier, footswitch, pendiri dan strap. Bayangkan sebuah set pemula lengkap untuk pemain gitar, tapi dalam terjemahan LEGO.

Lebih menarik, turut disertakan bersama set ini ialah dahan tremolo dan dua “kabel” guitar. Malahan, pemulas penala boleh diputar seolah-olah gitar sebenar, dan “tali” gitar yang disediakan adalah miniatur fizikal – bukan hanya sekadar kertas stiker. Bahagian belakang amp gitar ini juga boleh dibuka bagi mendedahkan sistem wayar, kod speaker, tube serta motherboard amp, lantas membuatkan produk akhir LEGO ini tampak teliti dan lengkap.

Bagi menambah keistimewaan set ini, anda mempunyai pilihan untuk memilih warna bagi bahagian badannya, samada merah ataupun hitam. Ini adalah satu keputusan yang amat baik daripada LEGO dimana peminat produk mereka tidak perlu untuk membeli sehingga dua set untuk mendapatkan set yang berlainan warna.

https://www.youtube.com/watch?v=c0YEWjpHtzQ

Buat yang risaukan kesusahan proses pemasangan set ini, anda tidak perlu khuatir kerana ia didatangkan bersama buku panduan dan setnya pula dibungkus mengikut turutan nombor, membuatkan proses pemasangan lebih mesra pengguna. Tetapi, tiada siapa yang boleh menghalang anda sekiranya anda sukakan cabaran dan ingin memasangnya tanpa merujuk buku panduan. Iyalah, namanya pun sekadar buku panduan dan bukanlah buku undang-undang.

Set LEGO® Ideas Fender® Stratocaster® ini pastinya menjadi satu produk yang wajib didapatkan oleh peminat alatan muzik, terutama sekali peminat jenama Fender atau LEGO, atau kedua-duanya. Dan semestinya buat anda yang mempunyai masalah GAS (Gear Acquistion Syndrome), inilah masanya untuk antara ubatan yang anda boleh cuba dalam menenangkan GAS bulanan anda.

Berikut adalah spesifikasi set ini:

  • Umur: 18 tahun keatas
  • Ukuran model (Stratocaster):
    • Tinggi: 36cm
    • Lebar: 11cm
    • Ketebalan: 4.069 cm with the whammy bar (3.236 cm without it)
  • 1,074 keping

Anda boleh mendapatkan produk ini di kesemua kedai rasmi LEGO di Malaysia pada tanda harga RM 499.90.