Browse By

6 Lagu Kolaborasi Noh Salleh Yang Mungkin Anda Belum Pernah Dengar

Mula menempa nama dengan sebuah kumpulan hip hop, Noh Salleh kini merupakan antara sosok pemuzik yang menyerlah dan terkenal pada masa kini.

Secara umumnya, beliau adalah “muka” bagi kumpulan rock alternatif Hujan. Namun secara muzikalnya, Noh merupakan salah seorang penjelajah muzik yang meneroka pelbagai daerah muzik merentas genre. Beliau hanya membuat lagu untuk kepuasan diri sendiri tanpa betul-betul mengambil kira sekiranya ia diterima ramai ataupun tidak, lantas inilah yang menjadikan hasil-hasil karya beliau sentiasa segar dan menarik tanpa sebuah acuan yang sama.

Mari kita lihat senarai lagu kolaborasi Noh Salleh yang membuktikan bahawa Noh Salleh adalah seorang “all rounder” yang mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai rencam lagu dan muzik (yang mungkin anda belum pernah dengar):

1. Amir Jahari – Sang Perindu

Lagu ini adalah sebuah mercu pertembungan antara dua penulis lagu yang prolifik dalam zaman sekarang. Hasilnya, sebuah lagu yang sungguh padat dari segi lirik dan susunan muziknya. Amir Jahari walaupun lebih dikenali melalui pentas arus perdana, bakat dan kebolehan beliau dalam susun atur muzik dan pemulisan lirik melangkaui “formula” arus perdana menyebabkan tidak diangkat selayaknya. Kehadiran Noh Salleh dalam lagu ini menghadirkan sebuah lagi dimensi dalam karya ini – sebuah paduan suara yang menyebabkan butang “replay” diinjak berkali-kali.

2. DJ Fuzz – Selamat Pagi Sayang

Walaupun pada awalnya Noh menyebut “Hujan”, tapi sebenarnya ini adalah lagu kolaborasi yang hanya melibatkan Noh sahaja, manakala DJ Fuzz dibahagian susunan muzik. Sebuah lagu ala RNB yang santai dan romantik, didengari amat cocok dengan karakter suara Noh yang seakan malas itu.

3. Atilia – Old Love

Sebuah lagi lagu yang betul-betul padan dengan karakter suara Noh. Paduan suara Atilia dan Noh Salleh sungguh menjadi dan magikal. Dan paling utama, lagu ini cumalah antara beberapa lagu dimana Noh menyanyi dalam bahasa Inggeris. Pengikut Hujan dan Noh Salleh pasti mengetahui bahawa Noh ada sedikit perasaan tidak yakin dalam mebuat atau menyanyikan lagu-lagu dalam Bahasa Inggeris. Namun eksekusi vokal Noh dalam lagu ini “sampai”, walaupun vokalnya santai dan bersahaja.

4. Aizat – In Love With You

Mengikut bacaan saya, kolaborasi bersama Aizat ini adalah cubaan awal Noh dalam meneroka muzik Britpop sebelum beliau membuat projek kumpulan Da Vagabonds. Malah, Aizat sepatutnya menjadi salah seorang ahli kumpulan Da Vagabonds. Namun kerana Aizat mengakui mungkin tidak dapat memberikan komitmen untuk projek tersebut, lagu ini hanya menjadi kolaborasi mereka berdua dan tidak dimuatkan dalam EP Da Vagabonds. Rakaman video ini juga dilakukan di kawasan perumah mereka berdua kerana ketika itu mereka tinggal di kawasan kejiranan yang sama.

5. SSK – Kau Pijak Hatiku Lagi

Kita semestinya tahu kolaborasi Noh dengan beberapa artis hiphop seperti Altimet dan Aman Ra, namun pernahkah anda mendengar kolaborasi beliau dengan kumpulan SSK? Lagu ini menggunakan sample dan bahagian lirik daripada lagu HujanPijak Hatiku“. SSK adalah kumpulan rap yang menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu dalam lagu-lagu mereka.

6. Carleed Khaza – Bara Wargakota

Ini adalah lagu tema bagi sebuah cerita bersiri yang dilakonkan sendiri oleh ahli-ahli kumpulan Hujan yang bertajuk Projek Pop yang disiarkan oleh 8TV pada tahun 2012.

Selain itu, anda juga patut cuba dengarkan kolaborasi Noh Salleh bersama Goldfish and Blink, Jemson, Mizz Nina, Aman Ra, Altimet, Dichi Michi dan Popkonspirasy. Pastinya ada yang kami terlepas untuk senaraikan. Nyatakan di ruangan komen media sosial kami sekiranya anda perasan kami ada terlepas lagu yang menampilkan Noh Salleh atau kolaborasi Noh Salleh yang lain!

Langgan buletin Junklist untuk menerima emel mingguan berkaitan muzik alternatif Malaysia semasa di sini.

telegram