Browse By

Orkes A. Hizadin – Dunia Remaja Showcase

4 Mei adalah tarikh dimana ramai penganjur acara dan band berpusu-pusu membikin gig last kopek sebelum bulan puasa bermula. Di Malaysia, acara muzik dan gig banyak dihentikan pada bula Ramadhan kerana menghormati bulan tersebut. Ada baiknya juga kerana selain fokus kepada amal ibadat, ada juga kumpulan yang mengambil kesempatan untuk berkumpul dan membuat material baru mereka.

Orkes A. Hizadin tidak terlepas untuk mengadakan sebuah acara yang diberi nama Dunia Remaja Showcase yang bertempat di Angkasa Event Space, Cheras. Nama acara ini sudah jelas menggambarkan tujuan ianya diadakan. Terdapat dua tujuan utama gig ini dianjurkan. Pertama, bagi melancarkan single ke-empat daripada album debut Orkes yang bertajuk Dunia Remaja bersama dengan sebuah video muzik, dan keduanya adalah sebagai sebuah majlis pelancaran barangan rasmi merchandise Orkes sendiri, terutamanya koleksi t-shirt dan tote bag. 

Tunjang utama majlis ini ialah Stickybox, sebuah toko merchandise Malaysia yang ulung ketika ini. Mereka adalah jenama rasmi yang menaja Orkes dari aturcara majlis, rekabentuk merchandise dan sedikit sebanyak menyumbang dalam pembikinan video muzik Dunia Remaja.

Gig ini turut mendapat sokongan persembahan pembukaan daripada 4 kumpulan lain, iaitu Pastel Lite, Night Skies and Visions, Loko dan Midnight Fusic. Bagi saya, ini adalah sebuah lineup yang menepati tema “dunia remaja” yang dibawakan mereka. Kesemua kumpulan tersebut dibarisi oleh pemuzik yang masih lagi muda! Ternyata keempat-empat kumpulan tersebut berjaya menghangatkan venue dan menghilangkan kekok penonton yang hadir. 

Tepat pukul 10 malam, penonton yang memenuhi segenap ruang Angkasa duduk diatas lantas sebagai persiapan untuk menonton video muzik Dunia Remaja yang akan dilancarkan. Ia adalah tayangan istimewa bagi yang hadir pada malam itu sebelum dimuatnaik kedalam Youtube pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Bagi saya, sinematografi video Dunia Remaja sangat cantik, permainan warnanya menarik, dan product placement-nya tidak terlalu obvious dan melebih-lebih. Semuanya dibuat dengan teliti dan baik. Konsep dan tema video juga bersesuaian dengan muzik yang dibawakan dan lirik yang digunakan. Melihat pada video tersebut saya tiba-tiba teringatkan muzik video The Strokes – Under Cover of Darkness. (Bukan tiru ya, saya teringat je).

Selesai tayangan video tersebut, terus sahaja Orkes mengambil alih pentas. Dengan 11 lagu yang dimainkan, ternyata malam itu memang Orkes yang punya. Amir sememangnya bijak mengawal crowd dan penonton. Ully walaupun baru sahaja pulang dari London, masih bermain dengan baik. Syahid kekal tenang mengawal ritma, Nash cuba untuk riot dalam ruang yang pentas yang sempit dan Opie nampak puas dibalik timbunan drum. Saya merasakan ianya seolah-olah majlis pelancaran album, padahal tiada satu pun album Orkes dijual pada malam itu.

Merchandise yang dilancarkan pada malam itu merangkumi sebuah t-shirt, sebuah raglan/baseball tee dan sebuah tote bag. 

image

https://stickybox.co/product/orkes-a-hizadin-raglan/

image

https://stickybox.co/product/orkes-a-hizadin-t-shirt/

image

https://stickybox.co/product/orkes-a-hizadin-totebag/

Menurut Ully, penting bagi sesebuah band untuk mempunyai sebuah branding. 

“Band adalah sebuah jenama sebenarnya. So bila kita jadi sebuah jenama, penting untuk kita ada design yang cantik supaya orang suka dengan branding kita. Sebab itulah Stickybox comes into the picture dan kita (Orkes) collab dengan mereka sebab mereka lebih pakar dalam hal-hal design ni”.

Bagi kumpulan ataupun mana-mana pemuzik yang tidak tahu cara untuk memasarkan branding mereka ataupun tidak punyai masa untuk menguruskan jualan merchandise, Stickybox adalah sebuah jawapan. Anda boleh hubungi Stickybox di enquiries@stickybox.co untuk mendapatkan keterangan lanjut.