Browse By

Balas Dendam Anjuran Sirap Ais – Ulasan Gig

12 Oktober 2021 – Setelah hampir 5 bulan debut self-titled album Jemson dilancarkan, akhirnya para peminat band rock ini dapat menyaksikan lagu-lagu ini dipersembahkan secara live Sabtu lepas. Gig Balas Dendam ini dianjurkan oleh Sirap Ais yang menampilkan Jemson sebagai band utama serta dua supporting band, Saripdol bagi sesi petang dan Kapow bagi sesi malam. Pihak penganjur hanya menyediakan 100 keping tiket bagi setiap sesi selaras dengan SOP yang telah ditetapkan mengikut kepada kapasiti venue. Gig ini diadakan di Bsync Live sebuah venue yang menarik pada hemat saya dengan tempat yang agak tersorok dan view yang menarik di atas bukit.

Disebabkan saya hanya boleh memilih untuk sertai salah satu sesi sahaja atas faktor tertentu, saya memilih untuk pergi pada sesi malam kerana kebiasaannya gig diwaktu malam ini menjanjikan kejutan yang menarik. Ternyata tekaan saya betul apabila tidak lama selepas saya tiba di venue tersebut, sudah kelihatan sosok tubuh seorang vokalis bertenaga iaitu Vinesh dari Trophy Knives. Pada waktu itu, keghairahan untuk menyaksikan mereka beraksi secara live juga sudah terasa. Sementara menunggu rakan media yang lain hadir saya sempat menikmati view di atas bukit Jalan Permai tersebut diwaktu senja. Sungguh indah. Bsync Live tidak seperti venue-venue lain dimana turun tangga sahaja perut anda boleh nikmati segala jenis makanan. Jadi, saranan saya jika anda berhasrat untuk pergi gig di Bsync Live, makan dulu.

Pada jam 8 malam, sudah kelihatan ramai muka-muka ‘kaki gig’ kelihatan dan kami mula masuk ke ruang acara. Sangkaan saya, pihak penganjur bakal menyediakan tanda X atau petak di lantai bagi setiap penonton tetapi tidak. Penonton bebas untuk bergerak tetapi seringkali diingatkan supaya mengambil inisiatif untuk melakukan penjarakan sosial. Tidak lama selepas itu, Kapow mengambil posisi mereka di atas pentas dan mereka memulakan show dengan lagu baru bertajuk, Kelabu. Tamat lagu pertama yang agak slow, Kapow tidak mengambil masa yang lama untuk menghangatkan suasana dengan lagu kedua mereka, Jagoan Maya. Pada ketika ini, sebilangan penonton sudah mula ‘naik hantu’. Tidak sabar untuk balas dendam barangkali.

Tidak sempurnalah gig Kapow jika kita tidak disajikan dengan teka-teki dari Mie Kapow, vokalis mereka. Kali ini Mie menghadiahkan debut album Kapow bertajuk K kepada sesiapa yang berjaya menjawab teka-teki beliau dengan tepat. Antara detik-detik yang menarik pada gig Balas Dendam ini adalah kehadiran saudara Faudzi yang hadir dengan berkerusi roda kerana baru menjalani pembedahan. Beliau turut menerima album baru Kapow secara percuma atas asbab semangat yang ditunjukkan dengan hadir ke gig Balas Dendam tersebut. Acara diteruskan lagi dengan lagu-lagu dari album mereka iaitu Intuisi, OTW dan Kankung & Roll. Pada saat ini, keadaan sudah tidak boleh dikawal. Hampir kesemua penonton yang hadir telahpun bagai dirasuk ‘hantu gig’. Apa tidaknya, siapa boleh tahan dengan riff dan solo yang menyengat dari kugiran ini. Kapow meneruskan persembahan mereka dengan lagu-lagu baru yang bakal hadir dalam album baru mereka iaitu Hidup, Budak Perang, Lincah Kaduk dan Helang dan Garuda.

Selesai set Kapow, penonton semua keluar dari ruang acara untuk ‘ambil nafas’ setelah puas membalas dendam. Terdapat beberapa booth yang disediakan oleh pihak penganjur di luar ruang acara seperti booth minuman, makanan, merchandise band dan air LaLoCa. 10 minit berlalu, semua penonton kembali masuk ke ruang acara dan kelihatan Jemson sudahpun mengambil posisi mereka. Jemson tidak beri peluang. Lagu pertama sahaja sudah buat penonton naik gila. Walaupun tanpa kehadiran Noh Salleh, Myo berjaya menggalas tanggungjawab untuk rap lagu Lu Power dengan sempurna! Lagu kedua iaitu Antara Benua diteruskan dengan kehadiran Vinesh dari Trophy Knives yang cukup bertenaga.

Sumber : Twitter Jemson

Kelihatan Myo dan Jimie sendiri terkejut dengan tenaga yang dibawa oleh para penonton pada malam itu walaupun baru dua lagu yang dibawa mereka. Yang pasti, mereka juga rindu dengan suasana tersebut setelah launching album sulung mereka terpaksa ditangguhkan akibat PKP 3.0 yang melanda. Acara diteruskan dengan lagu-lagu baru dari album sulung mereka iaitu Mula Semula, Kau Jiwaku dan XPDC.

Selepas itu, mereka memulakan second-half set mereka dengan lagu-lagu dari EP yang turut terkandung dalam album sulung mereka iaitu Lagu Paling Kecewa Di Dalam Dunia, Rock & Roll Sampai Mati dan Fanboy. Ketika lagu RNRSM dimainkan, kelihatan saudara Faudzi betul-betul menghayati lagu tersebut walaupun dalam keadaan sebegitu dimana saya boleh katakan itu adalah moment of the night. Sangat indah. Untuk lagu kedua terakhir mereka iaitu Nostalgia, Jemson mempersembahkan Rudeen bagi melengkapkan set mereka. Saya gelar Rudeen ini sebagai ‘cool-rapper‘ kerana rap yang dibawakan oleh beliau lain daripada rapper yang ada pada zaman ini dan sedap untuk didengari oleh seseorang yang bukan peminat tegar hip-hop seperti saya.

Sumber : Twitter Jemson

Akhir sekali, gig Balas Dendam ini ditutup dengan lagu Pape Saje dari Jemson. Myo sempat menyatakan bahawa beliau sudah tidak sabar untuk touring serata negara dengan album sulung mereka ini. Jadi, ini bakal menjadi hint terbesar buat peminat Jemson untuk bersiap sedia. Walaupun suasana gig tidak dapat dikawal oleh pihak penganjur kerana semua naik hantu, gig ini tetap berjalan dengan lancar atas persiapan yang telah dibuat oleh pihak penganjur dengan memastikan setiap orang sudah lengkap dua dos vaksin dan sihat sebelum masuk ke ruang acara. Kapow sebagai pemanas badan yang sempurna dan Jemson sebagai kemuncak balas dendam. Pilihan yang bijak dari pihak penganjur. Sedikit kekesalan dari saya hanyalah tidak dapat menyaksikan Ali Sariah beraksi bersama Saripdol secara live. Ramai pihak penganjur telah memulakan langkah untuk kembali hidup dan kita sebagai pencinta muzik haruslah terus menyokong dan mengambil inisiatif-inisiatif sendiri terutama perihal kesihatan supaya kita dapat nikmati gig-gig ini seperti dahulu kala.

Sokong penganjur dan pemuzik tempatan dan semoga bertemu lagi di acara seterusnya!

Sumber : Twitter Jemson