Senarai Putar Hujung Minggu 38/21
Berita rasmi telah dikongsi pada 24 Oktober 2021, hari Ahad di Instagram @bittersweetbeat . Rata-rata peminat Bittersweet sedang sayu berkongsi saat mereka bersama band ini di serata media sosial. Terkenal dengan #WeAreTheBeats, Bittersweet atau singkatannya BTSWT, mereka telah memilih untuk menamatkan karier mereka bersama dan memberikan ucapan penghargaan buat para peminatnya. Di sini kami juga ingin berkongsi rasa pilihan lagu kegemaran team Junklist sebagai tanda penghargaan bersama.
Alkamil Kamarludin
A Perfect Match
Aku pilih A Perfect Match. Lagu tu beri aku satu perasaan nostalgia yang tak pernah aku rasa. Liriknya pula penuh dengan konflik tetapi dinyanyikan dalam nada romantik. Kalau lagu ini berkumandang dalam kereta, secara automatik aku akan terus tenung luar tingkap dan berangan kosong. Lagu ini tidak rancak sangat dan jarang dimainkan kat gig tapi aku rasa lagu ni antara lagu terbaik yang pernah Bittersweet hasilkan.
Ali Maswari
Kucing Hitam
Saya pilih lagu Kucing Hitam. Sejujurnya saya bukan seorang peminat tegar Bittersweet walau pada awal kemunculannya. Namun lagu melayu bernuansa Brit-pop ini berjaya menangkap halwa telinga untuk mendengarkan lagu yang lain dalam album pertama mereka, iaitu Perfect Match. Boleh dikatakan lagu ini menjadi siulan pada awal kemunculannya dan rata-rata playlist mp3 pada handphone Nokia pada zaman itu memang wajib ada lagu ini.
Atiqah HS.
Hilang
“Ke manakah arah hidupku, aku belum pasti”
Lagu Hilang mempunyai kedua-dua memori sedih dan gembira bagi saya. Walaupun kehidupan sudah pasti tidak dijangka perjalanannya, kita perlu jalan terus. Semoga karya-karya hebat Bittersweet terus tersemat di dalam jiwa pendengar dan membawa semangat yang baik.
Syu SH.
Capital E
“Capital E. Aku bukan peminat Bittersweet sejujurnya. Tapi bila mana aku hadir ke setiap gig yang Bittersweet pun turut main, lagu ini sajalah yang aku hafal seluruhnya. Seakan memberi adrenaline rush bila dengar, terus rasa nak melompat terkinja-kinja. Tapi bagaimana pun, setiap yang bermula akan menemui akhirnya. Semoga lagu-lagu Bittersweet tetap terus hidup di hati kita semua.
World’s becoming lonely, when pride can’t just be printed, I can’t decide. “
Ku Ziqree
1234
Masih ingat scene Dian terserempak dengan scammer rumah sewanya di lorong Istanbul? Ya, lagu latar scene itu menjadi pilihan saya. 1234. Hook intro yang padu dengan lirik yang seakan bersahaja menjadi perencah rasa dalam scene Dian lari terkontang-kanting bermodalkan kasut tumit tinggi di jalan Istanbul berbatu. Dengan scene itu sahaja sudah cukup mengingatkan saya akan kehebatan Bittersweet mencipta riff-riff padu. Saya taknak kalah. Ini lirik pilihan saya.
One two month before
She made me wrote this silly line
I can’t get through but is that a crime?
I’m lost for words forgot how it rhyme”
Shakyla
Burn It Down
Bermula dengan nama Burn Berlin Down, kemudian beralih kepada Burn It Down, lagu ini tidak pernah jemu di dalam putaran saya. Pertama kali mendengarkan Bittersweet, itu adalah saat Bittersweet sudah pun beralih kepada album keduanya. Keistimewaan Bittersweet adalah pada setiap persembahan secara langsung. Walaupun kehadiran saya ke pesta muzik Bittersweet adalah sedikit lewat, tetapi sejak kali pertama melihatnya di Tapau Fest 2019, saya tidak pernah jemu untuk hadir selepas itu. Intro lagu ini seperti automatik menarik saya untuk menyertai keramaian dan menikmatinya bersama. Mereka adalah revolusi Brit-Pop Malaysia yang sukar diganti. Biarpun mereka sudah mengakhirinya, tetapi lagu-lagu mereka akan terus dihargai dan diingati selamanya.
Sejuta penghargaan buat Bittersweet, terutamanya kepada Hafizan Razali dan Herri Hamid atas perkongsian muziknya di dalam scene muzik alternatif. Anda merupakan inspirasi besar kepada para anak muda untuk meneruskan minat, menghasilkan karya dan mencari identiti dalam penghasilan lagu dan kumpulan muzik. Ini mungkin satu pengakhiran yang agak mengejutkan kepada kami, tetapi ianya juga mungkin adalah satu permulaan yang baik untuk sesuatu yang tidak kita ketahui. Selamat jalan dan semoga kita berjumpa lagi!