Browse By

Senarai Putar Hujung Minggu 37/21

Wah, akhirnya kita sudah boleh merentas negeri. Minggu ini kita tetap bawakan lima buah lagu baru untuk anda, kami harapkan anda akan putarkannya tidak kira sewaktu anda dalam perjalanan atau sedang bercuti. 

FUGŌ – Shadow After Noon

Nampaknya FUGŌ sedang rancak dengan perkembangan karya baru. Pada bulan ini, mereka datang pula dengan Shadow After Noon sebagai single baru mereka. Intro lagu ini terlalu romantis untuk tidak dimainkan.  Lagu ini telah direkodkan di Melodiya Recordings dan adunan oleh KS Wong. FUGŌ adalah hasil kerjasama Hakim Kamal (vokal, gitar), Kayrol Ami (Bass) dan Apap Cora (gitar).

Hasha Roslan – Emosi

Single pertama Hasha Roslan, iaitu Koma sudah pun berada di Anugerah Lagu Indie Top 200! Namun, Hasha Roslan meneruskan rilisan single keduanya bertajuk Emosi. Lirik lagu ini merupakan idea asal Hasha Roslan dan direkodkan di Rumah Bunyi Studios. Emosi seolah-olah dicipta sebagai luahan perasaan kepada seseorang. Apa kata anda?

Mekynoza – Harapan

Mekynoza terus memberikan Harapan kepada peminat muzik alternatif selepas Bila Esok diriliskan baru-baru ini. Yang menariknya, setiap lagu yang dibawakan Mekynoza adalah satu penceritaan dan kesinambungan dari lagu sebelum dan selepasnya. Mekynoza juga turut mengumumkan laman web rasmi mereka. Layarinya di sini: https://mekynoza.weebly.com/ .

The Sunday Cup feat Jay Ridzwan – Measure

The Sunday Cup merupakan sebuah projek solo Ian Tai dan pernah menjadi vokalis kepada The Propositions. Selain dari Measure, tahun ini juga terdapat dua buah lagu lain iaitu Ocean dan You Had the Face of God yang anda boleh dengari sendiri di laman Spotify mereka. Measure pula adalah sebuah projek kolaborasi bersama Jay Ridzwan dari Hey Jay! selaku vokalis untuk lagu ini. Durasi lagu ini hanyalah selama 2 minit dan boleh dikatakan agak pendek tetapi tetap mempunyai vibe chill yang tersendiri.

Selamat Jalan feat. Tulangkata

Siapa tidak kenal Tulangkata, selaku penyajak terkenal dengan bukunya SHA. Kali ini beliau telah berkolaborasi bersama Mohsein Kush dan terlahirlah hasil Selamat Jalan ini. Puisi yang didendangkan di dalam lagu ini sepertinya tidak langsung asing, membuatkan pendengarnya lebih menjiwai lagu serta membuatkan MV lagu ini terasa pendek biarpun sudah berdurasi 5 minit. Bersama Rumah Bunyi, Izzy Musa adalah selaku penerbit bagi lagu ni serta hasil adunan oleh Shae.

Buat para peminat persembahan langsung, gig fizikal juga telah kembali ya. Teruskan sokongan anda dengan pembelian tiket dan selamat kembali ke hari normal!