Browse By

Senarai Putar Hujung Minggu 35/21

Nampaknya minggu ini sudah mula serba sedikit live music kembali ke pentas gig. Sudahkah anda bersedia untuk kembali ke venue gig kegemaran anda? Sediakan duit poket, pastikan anda semua menjaga SOP ya. Namun minggu ini kita teruskan bersama 5 lagu baru dalam senarai putar hujung minggu dulu!

Pablo! – Okay (OEFA)

Pop punk kelahiran dari Bintulu, Sarawak ini mungkin masih asing buat anda yang berada di Semenanjung. Pablo! ini adalah hasil bersama Morni (bass), Zul (gitar), Mirol (gitar), Zai (vokalis, gitar) dan Ujin (drum). Band ini adalah sebuah kumpulan yang dipengaruhi oleh pop punk tempatan yang lain seperti Bunkface, Hacktick!, Half Asleep dan TIM Melodic. Kemunculan band ini pada Ogos 2020 boleh dikatakan sebagai band yang fresh from oven, tetapi rilisan bertajuk Okay ini pasti membuatkan anda mahu mendengar keseluruhan demo EP mereka yang berjumlah 6 buah lagu. Reaksi positif yang mereka dapati dari para pendengar Bintulu adalah sumber inspirasi utama mereka untuk melengkapkan EP tersebut. Mereka juga telah terus berusaha mengorak langkah dan berkolaborasi bersama Sam Bunkface untuk single bertajuk Mereka Dan Kita. Mengikut kata Pablo!, mereka juga mempunyai perancangan dalam menghasilkan EP dalam bentuk fizikal. Jadi, sebagai permulaan, anda boleh mendengarkan kesemua trek lagu mereka di ruangan Spotify di sini terlebih dahulu.

Gambar Ihsan: Pablo!

DuoPemainMuzik (DPM) – Tulis

DuoPemainMuzik atau nama singkatannya, DPM adalah sebuah band berasaskan pop punk yang dimainkan secara akustik. Namun, mereka lebih berpegang dengan konsep dreamy gaze dan duo akustik ini telah berkolaborasi sejak tahun 2016. Karya-karya mereka telah mengambil Zulhezan sebagai sumber inspirasi lalu terhasillah Tulis sebagai salah sebuah karya mereka yang bertunaskan bunyian mereka tersendiri. Selain daripada itu, mereka turut mempunyai rilisan yang lain seperti Taman Permainan yang akan dimuatkan dalam pembikinan EP pertama mereka bertajuk Hikayat Titah Bersembah. Sebagai pendapat peribadi, saya juga turut tertarik dengan karya duo ini bertajuk Hasrat Cahaya. Kedua lagu Tulis dan Hasrat Cahaya ini adalah lagu akustik yang sangat nyaman untuk diulang-ulang seharian. Anda boleh melayari mereka di saluran Youtube Bangah Project – Tepu Session.

Seeing The River – Tyranny

Kita beralih pula pada sebuah band hardcore yang berasal dari Johor Bahru. Seeing The River atau nama singkatannya, STR adalah sebuah kumpulan yang terdiri daripada ahlinya iaitu Ed (vokalis), Emi (gitar), Pika (gitar), DQ (bass) dan AJ (drum). Muzik STR ini adalah pengaruh daripada band seperti The Ghost Inside, Underoath, Capsize dan pelbagai lagi. Di dalam rilisan mereka yang bertajuk Tyranny ini, terdapat mesej yang lebih subliminal seperti kesengsaraan hidup di bawah kuasa korup yang tiada penghujung. Manakala suara keduanya lebih kepada ekspresi yang memberontak untuk mencari kebebasan dalam perjuangannya. Selain daripada Tyranny, STR juga turut mempunyai diskografi mereka yang lain seperti Ain’t dan EP bertajuk Survive For Our Lives.

Azmyl Yunor – Orang Kita

Bulan Ogos dan September adalah bulan yang simbolik dengan rasa patriotik kepada tanah air kita. Terdapat beberapa pemuzik yang terus aktif dalam mempromosikan keunikan Malaysia dan antaranya adalah Azmyl Yunor dengan tajuknya Orang Kita. Sejujurnya, selain daripada menikmati lagu ini, anda harus melayari MV Orang Kita dengan hasil arahan Alina Wong. Visual vintage dan bersahaja di dalam MV ini akan membawa anda ke arah semangat perpaduan hidup dalam kepelbagaian bangsa dan agama. Malah, “orang kita” itu adalah rujukan utamanya. Siapa pun orangnya, apa pun warna kulitnya, ianya tetap adalah “orang kita”. Lagu ini adalah salah sebuah lagu di dalam album John Bangi Blues hasil tulisan Azmyl Yunor sendiri.

Salammusik – Pusaka

Seterusnya, rilisan seperti ini juga harus disambut megah. Kita sudah tidak perlu memperkenalkan Salammusik, tetapi lagu Pusaka ini adalah sebuah lagu tema yang dihasilkan untuk sebuah dokumentari bertajuk “Pusaka kita maruah kita”. Inspirasi MV ini adalah daripada seni mempertahankan diri iaitu silat. Permainan bahasa melayu juga amatlah dijaga oleh Payung, Jay Tan dan Salam sendiri. Pusaka atau membawa maksud kepada warisan turun temurun ini adalah satu mesej bahawa seni ini haruslah dijaga dengan baik dan terdapat jelas di dalam bait seperti “adat dijunjung, pusaka dikenang”. MV hasil arahan Areel Abu Bakar dan Layar Pictures Sdn Bhd ini tersangatlah kemas dan mempunyai kualiti yang wajar dicontohi oleh semua.

Punyai sebarang rilisan baru? Hantarkan sahaja melalui emel kami di submit@junklist.my. Pastikan anda mengikuti juga senarai putar di ruangan Spotify kami di bawah. Selamat Hari Kemerdekaan Ke-64 dan Selamat Hari Malaysia!