Browse By

Senarai Putar Hujung Minggu 32/21

Kita sudah memasuki minggu ke-32 dan rilisan baru masih belum berhenti. Harapan sebenar adalah pandemik untuk berhenti segera supaya karya-karya baru ini dapat dimainkan di pesta muzik secara langsung di pentas. Tapi sabar dulu ya semua, hari itu pasti akan tiba. Mari kita layan dulu 5 karya baru minggu ini.

No Good – Kayaba

Anda tidak akan pernah puas dengan hanya sebuah album Demo Kawe dari No Good. Kali ini No Good telah mengeluarkan sebuah single dengan tajuknya “Kayaba”, di mana ianya merupakan antara lagu yang akan dimuat naik di dalam album mereka akan datang. Terkenal dengan genre punk berloghat Kelantan, Abe Yed atau dikenali sebagai Smek bersama Yie (bass) dan Che Ali (drum) telah mengeluarkan lagu ni khas buat mereka yang melalui krisis kewangan di hujung bulan. Jika anda meneliti semula trek Kayaba ini, melodinya turut berada di dalam penghujung MV Che Using. Adakah album seterusnya punyai kesinambungan? Mari sama-sama kita nantikan. Sementara itu, layan dulu Kayaba boh!

telegram

Forgotten Wish – Yoga

Trek ala shoegaze ini adalah sebuah trek pertama Forgotten Wish yang dianggotai oleh Faiz, Lat dan disertai oleh Johan (gitar), Eng Cheng Long (gitar) dan Melissa Lin (vokal sokongan). Yoga merupakan salah sebuah lagu yang telah direkodkan di District Records, sebuah record label dari Kemaman, Terengganu. MV ini adalah MV pertama dari Forgotten Wish sebagai pengenalan dari band ini. Elemen shoegaze yang dibawakan oleh band ini pula adalah sebuah intrepretasi stail muzik rock yang lebih dreamy dan ambient. Anda juga boleh mendengarkan trek yang lain seperti Home6ick dan A Letter to Tel Aviv di sini.

Laisa – Kisses From New England

Laisa adalah projek solo Lisa Fuad yang merupakan ahli band FUAD, siblings duo dari Shah Alam, Selangor. Kisses From New England adalah sebuah lagu pengenalan daripada Laisa yang mempunyai kelebihan folk dan berentak perlahan. Sebagai seorang pemuzik yang berumur 16 tahun, rilisan ini cukup mengagumkan saya, semestinya kerana faktor usia. Liriknya ditulis dengan baik dan punyai jalan cerita yang tersendiri. Kemungkinan pengalaman berkarya bersama abangnya, Arief Fuad menjadikannya seorang singer songwriter yang lebih matang. Simpan lagu ini di senarai putar anda dan ikuti perkembangan di instagram @/philisaphical.

Rull Darwis – For Better Days (feat. Azmyl Yunor (Malaysia), Art Fazil (SIngapura) dan Amboro (Indonesia)

Azmyl Yunor sememangnya dikenali di dalam ruangan muzik alternatif dengan lagu seperti Lori Hantu, Makan Gaji dan pelbagai lagi karya yang mempunyai mesej sosial dan politik. Pada kali ini, Azmyl Yunor bersama kelompok “TugasNusantara” telah berkolaborasi secara internasional yang dianggotai oleh Rull Darwis (Indonesia), Art Fazil (Singapura), Amboro, P.B Adi, Reza dan Rifki Afsari (Indonesia). Lirik lagunya pula adalah hasil idea Jane Christina dan diterbitkan oleh Estu Pradhana di Indonesia. Mereka mengatakan bahawa karya lagu ini adalah sebuah ajakan untuk kembali mencintai dan merawat “ibu pertiwi” bersama bagi tiga negara serumpun ini. Ya, semoga dunia kita kembali pulih.

Foto Ihsan: Kelompok TugasNusantara

Saiful Rizal – Aku Takkan Mampu

Pertama kali mendengarkan Aku Takkan Mampu ini, membuatkan saya tertanya, ini lagu OST drama ke? Oh bukan, rupanya ini adalah sebuah rilisan baru yang ingin dikenali sebagai Saiful Rizal. Melalui SOG Production, Saiful Rizal telah mendendangkan rilisan ini yang merupakan hasil karya lirik daripada Shana Azman dan gubahan Raja Nazrin Shah. Kata Saiful Rizal, lagu ini dikatakan membawa satu penceritaan tentang cinta yang terlarang. Jangan sampai ditangkap polis ya!

Ikuti kemas kini senarai putar di sini!