Browse By

Senarai Putar Hujung Minggu 31/21

Kebebasan dalam muzik dan seni adalah satu nikmat yang tidak dapat dizahirkan melainkan dengan penghasilan karya yang berterusan biarpun dari dalam dan luar negara. Rilisan pada minggu ini bukan sahaja tertumpu kepada karya tempatan, tetapi juga kolaborasi hebat Malaysia-Poland dan tribute seorang penyanyi kini kepada pemuzik klasikal pada zaman 1960an. Mahu tahu lebih lanjut? Ikuti senarai karya berikut.

Antonina Car (feat. Zurfahani Batrisya) – Flautando

Kita semua pasti mahukan ketenangan dan kedamaian. Terkadang kita tak memerlukan kata-kata untuk menerangkan apa yang terbuku dihati, tetapi cukuplah dengan melodi dan irama yang menemani hari. Flautando adalah sebuah karya duo Malaysia-Poland iaitu Zurfahani Batrisya dan Antonina Car. Zurfahani merupakan seorang komposer dan multi-instrumentalist yang kini menetap di Shah Alam dan masih meneruskan ijazahnya di UiTM. Manakala, Antonina pula anak kelahiran Gdynia, Poland dan mempunyai kemahiran muzik, seni visual dan reka bunyi. Trek ini merupakan sebuah karya neo-classical dan post-minimalism. Konsep disebalik visual Flautando ini adalah untuk mencipta sebuah perasaan yang membawa pendengar kepada ritma dan struktur yang lebih halus dan kedamaian dengan permainan instrumen violin dan seruling. Visual tersebut telah direkodkan di Rewa, Poland.

Dependent – Meditasi

Dependent kembali lagi dengan karyanya yang bertajuk Meditasi. Karya ini merupakan antara karya muzik mereka di dalam album kedua, iaitu Duduk, Diam, Dengar. Kumpulan pop punk ini sememangnya aktif selepas selesai dengan Kopi Ais Ikat Tepi mereka. Meditasi adalah coretan lirik oleh Shuaib Shazaman Bakti. Tidak lupa juga mereka telah menampilkan Rina Hime pada akhir minit kedua di dalam lagu ini. Kata Dependent, karya ini merupakan sebuah penceritaan tentang rasa muhasabah diri yang dimana memberikan kesedaran kepada kita bahawa kita perlu lebih menghargai orang sekeliling dan tetap menyambut kedatangan sesiapa pun di dalam hidup kita.

Gambar ihsan: Dependent

ZSMusic – Beyond

Di sebalik Z|S adalah seorang anak muda yang kini menetap di Petaling Jaya, KL. Z|S atau dikenali sebagai Zariq Syafiq adalah seorang pemuzik baru yang memulakan perjalanan solonya dengan karya bertajuk Beyond. Lagu ini adalah sebuah lagu alternatif romantis berentak perlahan dan terhasil daripada lamunannya yang panjang. Ya, musim pandemik yang panjang ini sememangnya tidak menghalang pemuzik yang baru dan lama untuk berkarya, asalkan anda punyai minat. lIkuti perkembangan Z|S di laman Youtubenya ZSMusic atau carian instagram @zariqsyafiq .

Airinna Namara – Another Sad Movie

Airinna Namara sememangnya mirip penyanyi antarabangsa terkenal, Taylor Swift, Adakah mirip ini menjadikannya kurang kreatif dan kurang personaliti diri? Sama sekali tidak. Pada kebanyakkan karyanya, Airinna mampu mencari jalan ceritanya sendiri serta mencipta mood pendengar. Another Sad Movie is just another beautiful sad love song! Melalui lagu ini, kesemuanya adalah usaha Airinna sendiri bersama penerbitnya Ricky Farguson yang menetap di London, UK. Setakat ini, hampir 20 trek rilisan Airinna. Adakah kita patut menunggu album pula? 

Bihzhu – Chendering

Bihzhu akan terus memukau kita. Chendering seakan-akan sebuah lagu magis yang tidak ingin anda hentikan, atau tukar ke lagu seterusnya. Pada asalnya, Chendering adalah karya gubahan seorang pemuzik klasikal dan anak jati Pulau Pinang iaitu Jimmy Boyle pada tahun 1960an. Anda boleh layari penceritaan asal lagu ini di laman Youtube di bawah:

Melaluinya karya klasikal tersebut, Bihzhu telah meneruskan curahan usahanya menyusun semula lagu ini dengan kebenaran ahli keluarga Boyle, iaitu James Boyle. Chendering adalah sebuah lagu melodi cinta buat Pantai Chendering yang terletak di Terengganu, Malaysia. Teruskan pembacaan anda mengenai lagu ini di laman web https://www.bihzhu.com/ dan sama-sama kita nantikan mini dokumentari bagi karya ini.

Layari Chendering di Spotify sekarang!

Seperti biasa, karya-karya yang tersenarai di atas dan berada di Spotify akan dimuat naik di dalam senarai putar kami. Anda boleh tekan senarai putar dibawah dan tekan like bagi memudahkan carian.