Browse By

Senarai Putar Hujung Minggu 30/21

Warnai hidup anda dengan kepelbagaian cita rasa dalam muzik kerana muzik merupakan satu perjalanan yang rahsia bagi setiap pendengarnya. Kita masih punya 5 lagu baru untuk anda, dengarkannya sepanjang minggu dan kenali para pemuzik ini dengan lebih dekat. 

Weng – I Will Try

Ska punk adalah sebuah gabungan muzik ska dan punk yang berjaya dikomersialkan di sekitar tahun 90an dan majoriti lirik muzik yang dibawakan oleh genre ini lebih kepada sikap aktivisme dan keadilan sosial. Begitu juga dengan Weng pada hari ini yang ingin membawakan mesej tentang sikap mental yang lebih positif kepada audiensnya. I Will Try adalah salah sebuah lagu di dalam EP “Is This Even Skapunk?” yang baru sahaja dikeluarkan oleh Weng pada tahun ini. Di dalam EP tersebut mempunyai 5 buah lagu termasuk single Shine Bright yang telah kami kenalkan kepada anda pada tahun lalu. Karya I Will Try ini merupakan gabungan Weng bersama rakannya Tim. Layari EP tersebut yang kini sudah pun berada di platform muzik anda sekarang!

Biko Abidin – Xerox

Seterusnya, sebuah lagi band alternatif baru iaitu Biko Abidin yang berasal dari Johor Bahru. Biko Abidin adalah sebuah kumpulan yang dianggotai oleh Hafiz Azuar (vokal, gitar), Nazri Saat (gitar), Nazmi Jawahir (bass) dan Adin Azuar (drum). Alternatif rock yang dibawakan oleh mereka pula hadir dengan genre post metal dan shoegaze yang anda akan dengarkan di dalam Xerox ini. Rilisan Xerox ini adalah sebahagian daripada demo EP “Ø” (disebut sebagai sifar) dan sering dimainkan di gig-gig lokal sekitar Johor, Melaka dan KL.

Lumba Cahaya – Pertala

Kita masih belum dapat mengenali Lumba Cahaya sepenuhnya. Ini juga sebuah band baru ala postrock, nada instrumental yang menjengah perhatian saya melalui rilisan Pertala di platform Youtube. Lumba Cahaya sepertinya masih di dalam pembikinan demo, namun anda boleh mula dengarkan tambahan seperti Ratna dan Astaka di Soundcloud mahupun di Youtube. Bila mendengarkan Pertala ini, perasaannya kembali sama apabila mendengarkan Kalimuni, Glass dan MIM yang merupakan sebahagian daripada kumpulan post-rock yang ada di Malaysia. 

Pasca Sini – Heavy Little White Lies feat Aimranzaman

Perkara yang paling menarik di dalam arena punk, termasuk muzik pop punk ini adalah mesej yang ingin disampaikan di dalam setiap lagunya. Begitu juga keluaran muzik terbaru dari Pasca Sini dengan lagunya Heavy Little White Lies. Lagu ini telah digubah dan ditulis oleh Awal Fakha Rosdi iaitu vokalis band ini, digabungkan usahasama Aimranzaman selaku penerbit lagu ini. MV lagu ini sangat bersahaja, menampilkan Awal sebagai watak yang menikmati perjalanan lagu ini disekitar taman. Menurut mereka, lagu ini adalah tentang sebuah perhubungan yang manipulatif. Pada saya pula, sesuai dengan tajuknya, ianya adalah sekadar sebuah ekspresi penipuan untuk menenangkan minda dan hati kita dalam keadaan yang kian meruncing. Apa pula komen anda? Lagu ini merupakan single selepas album Emo Department yang dikeluarkan pada tahun lepas.

Alchemist – Soyuz Menuju Martin

Kita pernah memperkenalkan Babyrina kepada anda dimana ianya merupakan sebuah pengenalan daripada Alchemist, berelemenkan city dan japanese pop serta future funk. Band ini adalah milik bersama Achik Ashrin (vokalis), Deam Eiman (gitar), Azrul Heidi (keyboard, bass) dan Naim Niza (drum). Pada kali ini mereka meneruskan perjalanan mereka dengan berkongsi Soyuz Menuju Martin pula. Mengikut deskripsi mereka, animasi MV lagu baru ini merupakan sebuah perjalanan ke dunia baru dinamakan sebagai “Martin” menggunakan kapal angkasa “Soyuz”. Animasi yang dihasilkan oleh Dean Eiman ini turut menampilkan selitan tetamu istimewa iaitu Sleepyllama, Padin Musa dan Leeloo. Progress ini adalah sangat baik daripada Alchemist. Trek ini telahpun berada di platform muzik anda, tapi anda jangan ketinggalan untuk menonton MV Soyuz Menuju Martin ini kerana animasinya yang sangat kreatif.

Sokong para pemuzik yang anda terokai dengan subscribe, like dan share bersama rakan-rakan media sosial anda yang lain setiap hari dan anda juga boleh ikuti senarai putar Junklist di Spotify anda 🙂