Browse By

Senarai Putar Hujung Minggu 27/21

Sudahkah anda tersenyum hari ini? Tahukah anda senyuman anda merupakan sesuatu yang berharga untuk diri anda dan juga kepada orang lain. Senarai putar minggu ini ingin mengajak anda untuk praktiskan senyuman setiap hari dan dengarkan 5 buah lagu “senyuman” ini. Agaknya selain lagu-lagu tersenarai ini, ada lagi ke lagu tentang senyuman? Jangan segan, kongsikan juga pada kami.

Bil Musa- The Beach

Anda patut mulakan pagi anda dengan lagu ini. The Beach oleh Bil Musa merupakan sebuah lagu yang santai untuk anda dengari sambil menikmati kopi pagi mengadap luar jendela. Lagu ini dikongsi sekitar tahun 2014 dan dirilis bersama self titled EP Bil Musa pada tahun berikutnya di bawah produksi Yuna Room Records. Sebagai fakta tambahan, lagu ini telah dijadikan lagu OST di dalam drama Cinta 100kg di slot Dahlia TV3, lakonan Sherry Alhadad, Sharifah Amani, Fezrul Khan, Ungku Hariz, Ruzana Ibrahim dan Zain Saidin. Belum pernah tengok lagi? Boleh la mula tengok sekarang.

Amir Jahari – Tersenyumlah

Kalau rindukan suasana malam Kuala Lumpur, silakan layari Tersenyumlah oleh Amir Jahari. Buat yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor, pasti kawasan Dataran Merdeka ini anda akan jadikan laluan untuk berjalan santai menghirup udara, melepaskan resah di dalam fikiran anda. Lagu ciptaan Amir Jahari ini sebenarnya sedang berpesan kepada anda untuk meneruskan senyuman biarpun kita punyai ujian dan dugaan di dunia. Maka, sentiasalah bersyukur atas nikmat yang diberi olehnya.

Bedroom Sanctuary – Lagu

Sengaja saya tonton semula Anugerah Juara Lagu ke-27 kerana lagu bertajuk Lagu ini pernah berada di dalam final #AJL27 pada tahun 2012. Jika anda peminat XFM pada suatu ketika dahulu, anda pasti mengenali bahawa Lagu ini adalah nyanyian Bedroom Sanctuary. Suara vokalis Bo Amir Iqram tidak berubah dan konsisten dalam live mahupun recording. Video yang dimuat naik di Youtube olehnya pada sekitar tahun 2010 telah mencuri perhatian ramai pihak. Lagu ini merupakan antara lagu yang berada di dalam album I Can’t Draw, So I Sing yang anda boleh dengarkan di ruangan Spotify dan Apple Music.

Gerhana Skacinta – Senyuman Ragamu

Untuk segmen #NyanyianDariRumah tahun 2020 terbitan Unit Hiburan TV RTM, Gerhana Skacinta muncul pada episod 30 membawakan lagu Senyuman Ragamu. Program ini adalah khas sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat para peminat pemuzik tanahair. Lagu ini merupakan sebuah lagu yang berada di dalam kompilasi album The Best of Gerhana Skacinta yang dinyanyikan bersama Radhi OAG. Senyuman Ragamu telah mendapat sejuta putaran di ruangan Spotify. Lagu ini sememangnya tak lapuk dek hujan dan tak lekang di panas. Ianya sentiasa menghiburkan peminat muzik alternatif sehingga kini.

Malique – Senyum (feat. Najwa)

Album TKO: Pejamkan Mata merupakan salah sebuah album berbahasa melayu oleh Malique. Biarpun beberapa tahun lepas kulit album ni menjadi sedikit sensasi, namun dijelaskan bahawa kulit album ni membawa maksud kepada mata hati dan bukanlah seperti yang disangkakan oleh orang ramai. Lagu ini pernah popular sekitar tahun 2010 namun, Malique tidak pernah muncul di mana-mana media cetak selepas tidak lagi bersama Too Phat. Tetapi beliau telah meneruskan perjalanan solonya bersama Qarma Musiq. Beliau juga pernah dicalonkan di dalam Voize Independent Music Awards (VIMA) bersama Estrella, One Buck Short dan lain-lain lagi. Lagu nyanyian Malique bersama Najwa ini hanya memerlukan anda untuk terus “senyum, tak perlu kata apa-apa” 🙂

Layari semua muzik yang tersenarai di dalam Senarai Putar Hujung Minggu di sini. Jangan segan untuk klik butang “follow” di Spotify kami: