SENARAI PUTAR HUJUNG MINGGU 10/21
Di dalam ruangan muzik alternatif, terdapat pelbagai jenis genre yang dibawakan oleh para pemuzik ketika mereka bereksperimen dan berkolaborasi sesama pemuzik bagi menghasilkan muzik yang mempunyai emosi dan menyelami jiwa pendengar. Terdapat pelbagai jenis cerita di dalam lagu dan ianya hanya difahami pada mereka yang benar-benar menghargai. Senarai putar hujung minggu kali ini membawakan lagu-lagu daripada para pemuzik baru dan lama. Ayuh ikuti senarai seperti dibawah!
Alchemist – Babyrina
Jarang kita melihat senario MV karakter utama membawa keyboard berjalan kesana dan kemari dibawah neon malam. Namun tidak untuk Alchemist, sebuah band yang baru muncul pada tahun ini. Berlatarbelakangkan ibu kota Kuala Lumpur, lagu bergenre city pop ini pasti akan menarik perhatian anda. Lagu yang diberi tajuk Babyrina, ianya bukan sahaja sesuai untuk anda yang meminati elemen japanese rock dan future funk, tetapi juga jika anda meminati seni vintage colour grading video. Sejujurnya pada mulanya saya sedikit skeptikal dengan tajuk lagu ini, benarlah kata orang agar tidak menghakimi sesuatu atas luarannya sahaja. Selayaknya team produksi MV ini layak dipuji kerana berjaya membawa sesuatu yang berlainan. MV ini telah disunting oleh Isharadiq, diarahkan oleh Achik Ashrin dan Dean Eiman serta direkod oleh Radin. Tiada satu pun liriknya mempunyai perkataan Babyrina tetapi liriknya jelas menarik hati pendengar untuk memutarnya berulang kali. Kenali karya sulung mereka ini dan nyatakan pandangan anda di ruangan komen Youtube mereka.
Soundholic – Satu
Pada era lewat 90an, R&B pernah popular bersama Innuendo, Indigo and kemudiannya beralih kepada VE, Ruffedge dan Phyne Ballerz. Maka, pada tahun ini, lagi sekali pengaruh R&B ini telah selamat mendarat dari Kuching, Sarawak. Gandingan trio yang diberi nama Soundholic mempunyai misi bagi mengembalikan semula zaman kegemilangan R&B muzik tanah air. Kumpulan ini dianggotai oleh JayC Ho, Ameer Dawi dan Ariff Dawi merupakan anak-anak kelahiran Sarawak yang muncul dengan single tahun ini bertajuk Satu. Jika anda mendengar dengan teliti, pasti anda juga akan terdengar alat muzik tradisional di dalam karya mereka. Unik tetapi harmoni. Untuk pengetahuan anda, Soundholic juga pernah memulakan aktiviti debut mereka di sekitar tahun 2016 lalu kembali tahun ini bersama komuniti diberi nama Kerabat R&B Tanah Air (instagram @kerabatrnbtanahair) untuk menjayakan misi mereka. Layari mereka di semua platform digital dan kembalikan nostalgia anda bersama R&B boy band ini.
Transient Loss – Torn
Transient Loss mendeskripsikan kumpulan mereka sebagai progressive-metal band yang berasal dari Lembah Klang. Kemunculan mereka pada tahun 2019 bersama karya White Noise diteruskan pada tahun ini dengan rilisan bertajuk Too Long dan pada bulan ini bertajuk Torn. Pastikan anda bersedia untuk mendengar screamo mereka di dalam Torn hasil vokalis bernama Sutesh bersama ahli Transient Loss yang lain iaitu Jason (lead guitar), Noah (rhythm guitar), Silas (bass guitar) dan Rakin (drums). Mereka sebenarnya aktif pada tahun 2019 dengan partisipasi dalam Minggu Muzik Malaysia serta gig di sekitar Lembah Klang. Jika anda lihat MV Torn ini, ruang yang minimal tetapi emosi mereka bersama teknik pencahayaan akan mempengaruhi anda di saat anda menghayati lagu ini.
Motherwit – Amanah
Pada mulanya saya tertanya, bagaimana dan kenapa MV ini direkodkan berseorangan di dalam ruang yang sama? Benarlah ruangan kreatif akan tetap tercipta biarpun ianya hanya di dalam bilik tidur. Lagu Amanah oleh Motherwit ini adalah karya simpanan terpendam Sahaq Ibrahim selaku frontman Motherwit. Sebagai tambahan, lagu ini telah di mix dan master oleh Anwar Husaini dari Hazardgeek Records. Amanah membawakan mesej terus kepada para pendengar tentang seseorang yang dekat dengan anda. Secara tidak sedar, anda akan terpaut dengan vibes yang dibawakan oleh Motherwit ini. Jika anda baru pertama kali mendengarkan Amanah, di sini juga anda digalakkan untuk melayari EP Motherwit yang dinamakan sebagai “archived” demo rilisan pada tahun lepas. EP ini mempunyai 4 buah lagu untuk halwa telinga anda dan kesemuanya juga boleh juga dilayari di platform Spotify.
Aizat Amdan x Orkes Gamelan Pahang Diraja x Monoloque – Nongga
Khairul Ridzwan Anuar atau lebih dikenali sebagai LoQue merupakan antara pemuzik yang aktif dalam penghasilan karya elemen nusantara sehingga kini. Antara karya beliau yang terbaru adalah Nongga hasil kolaborasi bersama Orkes Gamelan Pahang Di Raja dan Aizat Amdan. MV Nongga direka dengan animasi yang mempunyai jalan cerita penghayatan tersurat dan tersirat oleh LoQue sendiri bersama Nizam Roshaidi, Akmal Adina, dan penerbitnya iaitu Dato’ Farid Abd. Jalal. Deskripsi beliau di dalam muzik video ini seperti Korporal Korporat, Sang Pengemis, Awang Benang Sawang dan Jalal Lenteng bukanlah bersifat hiburan semata, tetapi penuh pengajaran mengikuti arus modenisasi kini. Untuk pengetahuan anda, Nongga merupakan warisan gamelan sejak turun temurun lalu digubah oleh LoQue untuk memenuhi karya di dalam album vinyl eksklusif beliau iaitu Lagu Perang hasil gabungan kajian tradisional dan moden. Setakat 14 Mac, anda masih boleh menyokong karya eksklusif ini dengan menempah Lagu Perang Vinyl secara terus dengan LoQue atau Penerbitan Pancasona sendiri. Album ini adalah istimewa kerana mempunyai 10 buah lagu dalam bentuk dua buah vinyl. Anda juga boleh mengikuti kolaborasi LoQue bersama Manifesto iaitu bertajuk Kampung Rakit dan terus pra simpan Ningrat yang akan dikeluarkan pada 19 Mac 2021 tak lama lagi.
Jadi, berdasarkan senarai di atas, mana satu pilihan hati anda? Oh ya, bagi anda yang setia mengikuti senarai putar hujung minggu ini, anda juga boleh dengarkan lagu yang disenarai pada tahun ini di Spotify kami dengan menekan link di bawah atau lakukan sahaja carian Discover Malaysia Indie 2021 🙂
Klik sini: Discover Malaysia Indie 2021
Sampai jumpa lagi!