Browse By

Kasorga: Sebuah Pelakuran Irama Metal Merentas Garis Definisi Genre

Kasorga memberikan bayangan bahawa mereka adalah sebuah kumpulan traditional Arab dengan alunan muzik berbaur Timur Tengah sebaik sahaja trek pertama, ‘Mordecai’ berputar. Namun sebenarnya ‘Mordecai’ menguji kekuatan pustaka muzik pendengar, dengan gubahan yang bersimpang-siur, melibatkan kiraan yang tidak sekata sepanjang lagu dan penggunaan skala Phrygian dominan sebagai paksi lagu.

Begitu juga dengan ‘Et Tu, Brute?’ yang didengar sebagai bandungan antara orchestral rock dan metal, dan ‘The End’ yang menyelitkan baris bass ala rockabilly di beberapa sela dan vocal yang separa rap diantara permainan gitar yang kasar dan berat.

‘Nightlock’ pula mampu dilihat sebagai lagu ‘garis selamat’ yang lebih ‘mesra pendengar’ kebanyakan, dengan gubahan lagu yang lebih ke lembah rock ballad berbanding lagu-lagu yang lain. Ia sebuah lagu yang mudah dijangka gubahannya. Lontaran vokalnya kasar-basah, kedengaran seperti seorang mat metal yang sedang dalam kancah kesedihan tiada berpenghujung. Maka tidak hairanlah lagu ini dilancarkan sebagai lagu utama untuk lepasan ‘Ars Moriendi’.

Mungkin bagi sesetengah pendengar, ‘Ars Moriendi’ dilihat sebagai satu karya yang tidak tentu arah dan kucar-kacir tanpa sebuah halatuju yang jelas. Namun ‘Ars Moriendi’ sebenarnya adalah sebuah album pertunjukkan buat Kasorga dalam membuktikan kebolehan beliau menggubah dan mengarang lagu. Hanya 4 buah lagu, tetapi mempunyai kekuatan dan kefahaman dalam pelbagai haluan muzik, dan keupayaan yang tekal dalam mengadun kepelbagaian genre kedalam satu gubahan yang sama.

Pastinya tidak akan menjadi kegemaran peminat metal ‘asli’, tetapi boleh menjadi sebuah karya yang mampu melempiaskan nafsu telinga peminat muzik yang bersifat eksperimental dan rentas-genre.