JEMSON: DEFINISI BARU ROCK
Band Jemson tidak lagi asing dari kalangan pendengar muzik alternatif tempatan; dianggotai oleh Myo dan Najmi dengan pembawaan muzik rock. Kelahiran album baru JEMSON oleh Jemson ini membuktikan yang kreativiti tidak mati ditelan pandemik dengan menyaksikan pelbagai kolaborasi dengan artis hebat lain seperti Noh Salleh, Naim Daniel, Vinesh Trophy Knives, Rudyn Lyon, Izo XPDC dan ramai lagi. Cover album yang memuatkan 12 trek seakan ‘trippy’ dan berwarna-warni ini direka khas oleh @UzueOsbourne dan ‘lyrics booklet’ pula direka khas oleh Diana Idris.
Permulaan trek ‘Lu Power’ seakan satu amaran keras di pembukaan gelanggang kepada pendengar, yang anda bakal disajikan trek-trek yang hebat. Bagi saya trek ini agak garang dengan bunyi gitar riff terus membuatkan anda mahu tinggikan volume dan memenuhi ruang. Manakala vokal Myo dalam lagu membawa mood energetik dan mampu membawa kita semua untuk sing-along mengikuti lirik. Bahagian ‘rap’ oleh Noh Salleh pula meyakinkan bahawa Noh adalah seorang yang versatile untuk membawa mana-mana genre dengan baik. Muzik video ‘Lu Power’ yang dilancarkan baru-baru ini sememangnya kena dengan tajuk, kerana hanya satu perkataan boleh mengambarkan kehebatan band ini. Power!
Sangkaan saya tentang amaran Jemson ini tepat kerana trek kedua, ‘Antara Benua’ terus menggila dengan kekuatan gitar oleh Najmi. Gabungan vokal menjerit Myo dan Vinesh Trophy Knives pasti membuatkan anda tertanya-tanya adakah lagu ini sebenarnya ingin menyampaikan kemarahan terhadap sesuatu atau seseorang. Tetapi apabila saya meneliti liriknya, lagu ini sebenarnya mengajak anda untuk membuat sesuatu tanpa mempedulikan kritikan atau pandangan serong orang lain, yang penting hati suka gembira!
Trek seterusnya membawa pendengar supaya mula bertenang dengan ‘Mula Semula’ menampilkan penyanyi yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu, Naim Daniel. Secara peribadi, lirik bagi sesuatu lagu amat penting bagi menyampaikan mesej tertentu. Untuk lagu ini, pasti anda akan mengulangnya berkali-kali untuk terus bersemangat. Kejatuhan tak selamanya buat kita ada di bawah, namun kejatuhan sepatutnya terus buat kita untuk mula semula.
‘Kau Jiwaku’ yang digandingkan Rudye Lyon membawa mood yang berbeza daripada trek-trek sebelum ini. Bagi peminat lagu-lagu emo, lagu ini mendapat tempat di kalangan trek favorit. Bermulanya bahagian nyanyian Rudye terus membuatkan saya meremang dan secara jujur di penghujung lagu disertai alunan bunyi piano hampir membuatkan saya menangis.
Kolaborasi hebat bersama Izo XPDC dalam trek ‘XPDC’ ini pasti membuatkan peminat XPDC dan industri rock teruja. Alunan muzik seperti membawa anda mengimbau kenangan yang ‘bittersweet’ dalam ekspedisi kehidupan sebelum pandemik. Trek ‘Nostalgia’ pula adalah trek kolaborasi dengan Sam Bunkface dan Rudeen. Lagu ini ditonjolkan dengan melodi yang ringan sesuai untuk didengar berulang kali terutama pada rangkap dinyanyikan oleh Rudeen. Rangkapnya yang ‘catchy’ menangkap telinga pendengar untuk menikmati lagu sampai habis.
Trek yang lain seperti ‘Rock N Roll Sampai Mati’ menampilkan Areef Iskandar, Sakit Hati menampilkan Raz Azraai, Pape Saje menampilkan AG Coco, Lagu Paling Kecewa Di Dalam Dunia pula menampilkan Nazrin (Sekumpulan Orang Gila) dan juga Fan Boy merupakan trek dari EP Balada Cinta Kosmos juga dimuatkan di dalam album ini. Trek terakhir dalam album ini, ‘Maybe (Top of the Pop Cover)’ adalah satu-satunya lagu Inggeris yang turut dimuatkan, merupakan sebuah lagu saduran bersempena rilisan semula album Couple, Top of the Pop.
Secara keseluruhan, album ini padat menjulang kegemilangan irama rock. Hasil kerjasama pelbagai pihak dari awal pembikinan sehingga lahirnya album ini patut dipuji kerana album JEMSON ini sememangnya powerlah! Malah, Jemson berjaya memberikan definisi baru terhadap rock; penggunaan bahasa slanga yang selamba, mesej yang jelas, mudah difahami dan tidak bertapis-tapis, serta muziknya yang mudah diterima untuk semua lapisan masyarakat. Sekiranya ditanyakan kepada saya apakah kumpulan rock era terkini, Jemson adalah jawapan muktamad saya tanpa sebarang keraguan. Dengarkan album ini dari awal sehingga penamatnya dan rasakan gigitan rock era baharu. Siapa kata rock dah mati?
Untuk anda yang belum memiliki JEMSON, jangan lupa dapatkannya di kedai online dan fizikal – @teenageheadrecords dan juga @dreamprojecttip.