Browse By

Jayzuan Menyembah Kirana Melalui “Filokalis” Yang Penuh Liris

Saya kira tidak perlu bercerita panjang tentang susuk yang membawa nama Mohd Jayzuan ini. Carian mudah di Google boleh memberikan anda segala perihal tentang beliau, lengkap seperti sebuah curriculum vitae.

Hari ini saya hanya mahu membawa anda menelusuri lepasan baharu beliau, Filokalis. Saya mahu mulakan ulasan saya dengan bangkangan terhadap harga jualan Filokalis ini yang cuma berharga RM10. Jauh sekali saya mahu mengambil peduli hal untung-rugi pengkarya, tetapi minda saya kerancuan memikirkan bagaimana Jayzuan yang sudahpun mempunyai portfolio seni berpuluh tahun sanggup mengambil keputusan untuk menjual karya ini pada harga RM10.

Beli Filokalis Di Sini

Bayangkan sebuah lepasan 5 lagu yang anda mampu dengar sehingga ke hujung hayat dengan harga yang lebih murah dari sekotak rokok bercukai yang paling murah yang anda boleh dapatkan di kedai serbaneka 24 jam. Saya merasakan harga ini bukanlah harga yang sihat untuk seorang pengkarya melestarikan karya-karya mereka.

Namun tujuan Jayzuan jelas. Malah, buat sesiapa yang mengenali beliau untuk tempoh yang lama dan turut membaca penulisan-penulisan beliau pasti mengerti bahawa Jayzuan etika DIY sudahpun berpasak akar didalam diri Jayzuan buat sekelian lama. Beliau menyanjung etika DIY yang dibawa oleh Ian MacKaye, bekas ahli kumpulan Minor Threat dan Fugazi, yang juga merupakan peneroka kultus DIY. Maka saya faham, RM10 adalah harga yang paling logika untuk kesemua karya beliau.

EP Filokalis ringkas, hanya berdurasi sekitar 16 minit. Sebuah perjalanan ringkas. Namun lagu-lagu Jayzuan terus menuju sasaran tanpa perlu berbasa-basi dengan intro mahupun solo-solo gitar. Berbanding lepasan Jayzuan yang sebelumnya, kali ini vokal Jayzuan lebih roman-malas-tik, seolah bisik-bisik sang kekasih ditelinga sebelum waktu tidur, mendatangkan rasa bahawa kesemua lagu dalam Filokalis kedengaran intim dan peribadi.

Mengejutkan, saya lebih menyukai Jayzuan versi masyghul ini. Dalam lepasan beliau yang lebih awal iaitu Love-Fi dan Pop n’ Roll’, beliau lebih gemarkan bunyian barai-terkawal. Namun kali ini dalam Filokalis, nuansanya lebih melunakkan hati, sekaligus menepati tajuk lepasan ini sendiri yang diambil dari perkataan Inggeris “philocalist”. “Philocalist” membawa maksud pencinta kirana; menyukai yang indah-indah.

Lagu 1 sehingga 4 (Telang Ungu, Dhanjelita, Februari, 11, dan Rintih Pesan) kedengaran senada dan hampir tiada langsung perubahan dinamik yang nyata. Namun saya tidak boleh putuskan samada ianya suatau perkara yang buruk ataupun tidak kerana pengalaman pendengaran saya sepanjang lagu Telang Ungu ke Rintih Pesan tidaklah terlalu membosankan, malah ianya bersambung-sambung seperti sebuah rantaian cerita ber-episod. Anya pula menjadi penutup indah kepada cerita-cerita rindu yang dimainkan sebelumnya.

Secara ringkasnya Filokalis mengekalkan kekuatan Jayzuan yang cintakan muzik minimal, lo-fi, dan barai-terkawal, namun dalam masa yang sama berjaya menampilkan kerapuhan Jayzuan dalam melontarkan perasaan cinta-rindu beliau. Susunan muzik, penulisan lirik dan nyanyiannya mungkin bukanlah “penanda aras” bagi orang kebanyakan, namun saya tahu kebanyakan orang tidak akan mampu mengeluarkan karya yang menjadi medium penyampai perasaan yang berjaya, sepertimana Jayzuan lakukan melalui Filokalis.

Beli Filokalis Di Sini