Aura Berat Seram “Runut Dalam Jeda” dari MIM
Post-rock merupakan satu genre yang melibatkan muzik eksperimental yang meneroka tekstur dan timbre ke atas muzik rock tradisional (yang sedia ada), kord mahupun rif. Menurut Wiki lagi, genre post-rock sering menggabungkan instrumentasi rock dengan elektronik untuk menambahkan lagi pengalaman alam sebalik mata. Rilisan Runut Dalam Jeda daripada kumpulan MIM sedikit sebanyak menjadi permulaan saya bagi mengenali post-rock dan band tempatan lain yang menjurus ke arah genre muzik ini seperti Deepset dan Akta Angkasa walaupun kumpulan terbabit sudah agak lama menyepi.
Rilisan memuatkan 6 buah trek yang sedia membawa anda hanyut dalam perasaan yang mendebarkan dan mendesahkan. Pengalaman mendengar lagu yang tidak ada penyanyi ataupun lirik membuatkan saya lebih ingin tahu mengenai bagaimana sesebuah lagu itu mampu membuahkan perasaan dan emosi.
Pre : Ghost adalah satu contoh tepat bagi mengambarkan perasaan seriau seperti berada di dalam filem seram. Permulaan trek ini terus menguasai ruang pemikiran bahawa ada susuk seram, sama ada hantu ataupun perkara yang paling kita takutkan mungkin akan muncul pada bila-bila masa. Produser filem seram tempatan patut take note akan lagu sebegini.
Seterusnya Demon, pukulan drum yang membelasah jiwa beserta bunyian gitar yang garang sekali lagi merangkup ruang perasaan dan pemikiran saya. Bermula pada minit 1 minit 19 saat, suara bisikan mula menyesakkan. Bisikan ini menyerupai sepertinya bising yang ada di dalam kepala seorang overthinker. Suara melontar kekecewaan dan beban penyesalan membuatkan dada terasa berat dan kepala saya sedikit pusing. Trek ini seakan lama dan pada awalnya saya tidak sedar trek seterusnya Inter : Debacle telahpun bermain. Mungkin ada sebab tersendiri lagu ini menjadi pengantara sebelum bermula trek seterusnya. Persoalan ini saya simpan untuk masa akan datang.
Definisi bagi Exequy merupakan simfoni atau lagu yang dimainkan ketika satu upcara pengebumian dijalankan. Berlainan daripada maksud asalnya, trek ini bermain laju dan lantang seperti meraikan perjalanan terakhir seseorang itu dengan begitu dramatik. Trek Conglomerate juga dipersembahkan dengan rentak kuat menyerupai persembahan kumpulan pancaragam. Melalui trek-trek ini kita boleh menangkap kekuatan sesebuah instrument yang ditekankan bagi menjadi nadi lagu tersebut.
Selain trek Demon, Kodokushi adalah trek yang berat dan meremangkan bulu roma. Maksud Kodokushi sendiri memberi erti yang ngeri iaitu kematian yang menyendiri atau keadaan sepi. Terma ini popular di negara matahari terbit apabila dikaitkan dengan populasi warga emas yang tinggi dan tinggal bersendirian. Bunyian pada awal trek ini mengingatkan saya tentang satu dokumentari pembikinan filem seram yang menggunakan gergaji kayu untuk menghasilkan bunyian seram tersebut. Bagi saya, ianya satu perkara yang sangat menarik apabila bunyian dalam lagu ini dihasilkan menggunakan tali gitar. Selitan suara wanita yang menangis di dalam trek ini menambahkan lagi perasaan yang mendebarkan. Trek ini juga mempunyai kolaborasi bersama Gheff Abu Bakar yang merupakan frontman Glistening Redchair. Jika diberi pilihan untuk mengenalkan kumpulan MIM kepada pendengar baru, trek Kodokushi merupakan pengenalan yang baik.
Sedikit info ruang muka album Runut Dalam Jeda unik ini telah dihasilkan oleh Huzaifah Mahmud @huzaifah.mahmud. Karya beliau pada setiap helaian sisipan album ini tepat dengan setiap trek yang dimuatkan.
Baru-baru ini MIM telah memperdengarkan lagu-lagu baru mereka yang belum dirilis di Neue Lite pada Disember lepas. Persembahan itu juga merupakan pengalaman pertama saya menyaksikan MIM secara langsung. Beberapa lagu terbaru mereka menangkap pendengaran saya dan berharap lagu terbabit dapat dirilis dengan segera. Untuk anda yang meminati post-rock dan kumpulan MIM sendiri, nantikan update mereka yang terbaru melalui laman sosial @soundsofmim. Rilisan terbaru mereka nanti bakal membawa anda sekali lagi ke alam yang tidak dapat digambarkan.