Browse By

SEIR: “ADA DUIT, BELI SUPREME?”

Lama tak bersembang dengan beliau. Yelah, orang sibuk. Memang tak reti duduk diam, ada saja idea beliau menggerakkan macam-macam. Tapi sementara PKP ni, adalah peluang untuk bersembang kejap dengan beliau.

Salam bang. Sihat ya? Macam mana keadaan lepas PKP? Mesti teruk, terutama terhadap ekonomi peniaga seperti abang.

Agak teruk kerana kami dah laburkan banyak modal untuk bangunkan kedai dan studio baru sebelum PKP bermula dengan harapan yang tinggi tetapi terpaksa tutup selama beberapa bulan. Juga ada rancangan buat acara tahunan yang boleh bagi peluang perniagaan lokal cari makan. Tetapi sekarang sebarang rancangan untuk buat acara memang terpaksa dilupakan sama sekali. Ia satu cabaran mental dan fizikal bagi semua peniaga.

Macam mana sustain hidup dalam keadaan PKP haritu?

Aku kembali kepada asas bakat yang aku ada iaitu melukis dan menulis. Selama PKP aku banyak melukis, menulis dan mencari idea, langsung dapat mengeluarkan sebuah buku yang mampu menampung sedikit sebanyak belanja rumah. Buku bernama Kitab Grafik Di Kala Pandemik Sejagat ini boleh dibeli di www.tempatanfest.com.my

Tempatan Fest lancar kempen #belilokalmy. Apa signifikan dan target kempen tu?

Ia bukanlah kempen anjuran Tempatan Fest, melainkan kami hanya menggunakan TF sebagai salah satu medium, dan kempen ini sebenarnya adalah hak milik awam dan orang seluruh rakyat Malaysia amnya. Kempen ini terhasil setelah melihatkan betapa susahnya ramai orang dan para usahawan lokal yang kerugian kerana pandemik dan perlunya kesedaran orang awam bagi membantu mereka bangun semula selepas situasi yang menyedihkan dan menyakitkan ini. Anak-anak perlu bersekolah, kereta perlu dibayar, hutang kena dilangsaikan. Jadi, SEKARANG ialah waktu paling sesuai untuk menyokong semua rakyat satu negara kita menguatkan semula ekonomi tempatan. Sasaran kami ialah: kesedaran tinggi semua rakyat Malaysia bahawa bahawa kita semua yang perlu bantu kita sendiri.

Agak-agak bagaimana penerimaan orang dengan kempen ni nanti? Dan berapa lama target untuk jalankan kempen ni? Saya tengok beberapa band dan page dah mula share poster tu.

Kempen ini ialah untuk selama-lamanya, tiada had jangka masanya. Saya gunakan segala kemampuan saya untuk capai seberapa banyak orang yang boleh supaya kongsikan poster tersebut, tetapi yang paling penting ialah kesedaran untuk sayang dengan ekonomi tempatan sebagaimana Indonesia atau Thailand sayang dengan industri tempatan mereka. Setakat ini, kempen ini sangatlah berjaya kerana kami dapat bantuan ramai pemusik, media dan artis yang punya ramai penyokong, kerana mereka percaya dengan ‘cause’ kempen ini yang pure (suci) dan tak dapat disangkalkan kepentingannya bagi semua orang, terutamanya bagi ekonomi Malaysia sendiri.

Aku pun suka kalau ada designer lain lain bawa mesej yang sama guna idea-idea diorang. Asalkan mesej yang sama.

Boleh explain macam mana pembelian barang lokal boleh bantu pulih ekonomi negara?

Selepas pandemik ini, bukan ekonomi kita sahaja yang jatuh, malah ekonomi luar juga jatuh teruk. Jadi, kita nak majukan ekonomi luar atau ekonomi kita sendiri? Yang jatuh menjunam tu. Ia bukan tentang macamana, tetapi kenapa?

Aku bukan pakar ekonomi tetapi dengan membeli servis atau barangan lokal, ia bagi peluang industri kita untuk bangun, improve dan berkembang dan lama-kelamaan, ekonomi itu jadi hak milik kita sendiri. Bukan jadi hak orang lain. Hak anak-anak dan keturunan kita.

Adakah kempen ini mengsasarkan beli lokal secara keseluruhan, atau berfokus pada ekonomi kecil sahaja?

Sebenarnya aku mahu kempen ini sampai hingga ke peringkat politik, kerajaan serta pihak berkuasa kerana mereka yang boleh membuka jalan yang lebih luas supaya hal ini akan diambil serius oleh lebih ramai orang. Kerajaan sebenarnya yang boleh membuat polisi dan mengubah cara rakyat Malaysia berfikir. Kali terakhir kempen kerajaan Beli Barangan Buatan Malaysia ialah pada 1984. 36 tahun dahulu!

Kali terakhir kempen kerajaan Beli Barangan Buatan Malaysia ialah pada 1984. 36 tahun dahulu!

Ia tak pernah diberi nafas baru, dimajukan atau diberi sokongan moral atau kewangan dengan jelas setiap tahun. Ia jadi sesuatu yang ditinggalkan dan dilupakan, padahal Kerajaan mampu buat dan beri fokus setiap tahun. Sasaran kami, ia akan berubah secara besar-besaran kerana kita dah lama dijamu dengan jenama luar dan tak pernah berbangga dengan produk lokal pun.

Macam mana pula plan Tempatan Fest untuk comeback dan recover? Rasanya ekonomi orang sekarang pun agak teruk. Mungkin kuasa beli akan berkurang lepas ni.

Ada banyak jalan lain untuk kami buat, mungkin lebih fokus untuk perniagaan dan persembahan secara online, kami dah susun beberapa konsert di internet tidak lama lagi. Kuasa membeli memang semakin teruk TETAPI jika ada duit, janganlah pula nak beli Supreme. Kan? Eloklah beli Akudesign atau Supersunday. Begitulah metafornya. Radio pula, lebih baik pasang lagu lokal, takkan nak support lagi lagu Amerika.

Abang pun baru beberapa bulan buka kedai sebelum PKP kan. Macam mana? Boleh mantain lagi kedai tu?

Boleh maintain sebab tuan tanah kami seorang yang sangat memahami situasi sekarang dan mereka memang sediakan tempat tu untuk usahawan tempatan pada asasnya. Niat asal mereka ialah untuk membangunkan ekonomi dan industri kreatif lokal, jadi mereka dah bersedia untuk situasi sebegini.

Baru-baru ni Twitter kecoh sebab ada sebuah akaun yang ada 34.7k pengikut minta orang design logo bagi akaun mereka dan upahnya cuma RT/exposure. Adakah exposure akan membantu menaikkan ekonomi negara? Silakan maki kalau mahu.

Perjanjian antara dua orang yang sesamanya telah bersetuju akan termaktub dan ia satu exclusivity. Sesetengah artis memang perlukan exposure untuk cari job seterusnya. Ada company baru yang perlu buat kerja secara percuma untuk exposure. Cuma… kalau dan ada elemen BULLY, maka patut kena kot. Hahaha.

Okay bang sebelum kita tutup, boleh sampaikan pesanan kepada pembaca dan peminat muzik tempatan.

Ambil tahu dan sayang dengan hal-hal ekonomi tempatan terutamanya yang membabitkan tentang bakat dan kreativiti lokal. Ekonomi sangat penting kerana ia satu cara semua orang cari makan. Dengan mendengar dan membeli rilisan lokal, ia bagi peluang pemusik kita untuk berkembang dan terus mencipta karya-karya yang lebih baik di masa depan, bagi mereka motivasi dan EXPOSURE yang diperlukan.

Apa yang penting, pasca pandemik ini ialah masa yang sangat tepat untuk kita sokong semula semua yang berasaskan ekonomi tempatan kerana.. bila lagi? Nak tunggu pandemik seterusnya? Masa tu mungkin dah terlambat.

Terima kasih JUNKLIST kerana temuramah ini.